Thursday, April 23, 2009

Memey Suhaiza Dalam Mingguan Lelaki



by Li Ee Kee (gua.com.my)

Sudah hampir enam bulan selepas kejadian tangkap khalwatnya dengan Norman Hakim. Sepanjang masa itu, ditegaskan kedua-duanya tiada hubungan istimewa yang terjalin. Namun, bukti atas bukti terkeluar mendedahkan sebaliknya.


Tiga minggu lalu, ‘Melodi’ menyiarkan aduan seorang ahli jawatankuasa di kawasan perniagaan lokasi pejabat Norman. Walaupun nama pelakon lelaki dan wanita yang diadukan itu tidak didedahkan, namun ‘hint’ yang diberikan pakcik itu terlalu jelas. Baru-baru ini, gambar mesra mereka berdua menyambut harijadi tersebar luas. Bukti jelas di depan mata, mampukah tuan empunya diri menafikannya?“Saya tidak tahu bagaimana gambar itu boleh tersebar. Gambar itu hak dan privasi saya. (Sejauh mana hubungan saya dengan Norman) itu di antara saya dan Norman. Saya tak nafikan tapi saya juga tak mengiakan. Yang dapat saya katakan, kami kawan baik. Selebihnya terpulanglah pada orang ramai,” kata Memey yang mengakui gambar itu dirakam semasa sambutan harijadinya.


Tapi tidakkah kenyataan itu makan sendiri bila satu hari nanti diumumkan mereka akan berkahwin? “Benda itu privasi saya. Saya taknak berita saya bersama orang ini dan orang itu dikecohkan tetapi akhirnya, hubungan kami tidak berpanjangan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang ini di mana orang ingin mencari kesalahan saya. Biar apa orang nak cakap, kami tahu keadaan kami. Tak perlu dikongsikan dengan semua orang apa perhubungan kami.”Tambahnya lagi, walaupun dia masih bekerja dengan Norman, menguruskan kerja-kerja admin, tetapi telah dihadkan masa ke pejabatnya, ekoran dari apa yang telah berlaku.Ikuti temubual selebihnya diantara GUA dengan Memey yang ditemui tengah hari tadi di sidang media pelancaran drama online terbaru gua.com.my, ‘Mingguan Lelaki’.


Semasa sidang akhbar tadi, pengarah Aziz M. Osman telah memuji Memey, mengatakan yang Memey akan menjadi bintang yang menyerlah dan kita patut memberi perhatian pada anda. Apa perasaan Memey bila mendengar pujiannya sebab sekarang ini nama Memey meningkat disebabkan kes khalwat dengan Norman dan bukannya bakat lakonan?
Saya gembira dan bersyukur kerana dia seorang pengarah yang berkaliber dan memang dikenali. Mendengarnya tadi memberi pengiktirafan kepada saya, ia sesuatu yang tidak disangka. Selepas penggambaran ‘Mingguan Lelaki’ selesai, bimbang juga jika lakonan saya tidak menjadi. Tapi bila sudah mendengarnya berkata begitu, lega rasanya. Saya puas kerja saya diiktiraf. Ini memberi saya semangat untuk terus tingkatkan usaha saya.Sebelum ini, saya pasti ramai yang kenal saya sebab lakonan tapi kini, saya akan terfikir, dia mengenali saya sebab lakonan atau kontroversi? Tapi saya buat tak tahu. Biar apa mereka nak kata. Saya tampil positif dan buat seperti biasa. Tapi setakat ini, saya belum berjumpa lagi orang yang marah atau maki saya. Legalah sebab takut juga jika terjumpa.


Dalam drama ‘Mingguan Lelaki’, Memey memainkan karektor Fara, seorang penggoda. Tidak bimbang ke Memey memainkan watak sebegini selepas apa yang telah berlaku? Ia seakan memperkukuhkan persepsi masyarakat terhadap diri Memey.
Apa yang orang lihat pada luaran saja. Terus terang watak Fara susah untuk dibawakan kerana ia bukan diri saya. Tapi saya melihatnya sebagai cabaran. Sebagai orang baru, saya tidak boleh ‘demand’ dan memilih watak. Saya juga tidak boleh terlalu ikutkan pandangan orang. Jika saya hanya memilih watak yang dirasakan ‘safe’, maka tidak nampak kebolehan saya sebagai pelakon.Saya akan di stereotaipkan dan penonton yang melihat lakonan saya akan merasakan tiada perubahan yang diberikan. Sebab itu, saya tidak terlalu fikirkan dan tunduk dengan pandangan orang. Bila diberikan peluang yang bagus seperti ‘Mingguan Lelaki’ dengan pengarah yang bagus, ini peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.


Boleh ceritakan sedikit tentang watak Memey dalam ‘Mingguan Lelaki’.
Farah seorang penyanyi, penggoda manja-manja. Ada tujuannya dia berkelakuan sedemikian, iaitu untuk kepentingan sendiri. Dia cuba memikat lelaki yang boleh memberi kepentingan untuk dirinya. Dia juga seorang yang suka lawa.


Bagaimana pengalaman bekerja dengan Aziz M.Osman?
Ini kali pertama saya bekerja di bawah arahannya dan memang takut sebab dia seorang yang garang. Pada masa yang sama, excited juga sebab dia pengarah yang ternama. Dia seorang pengarah yang bagus dan akan mengambil masa untuk mengajar kita. Dia juga memberi kita peluang untuk mencuba idea kita dan jika ada kekurangan, dia akan tambahkan.Projek lain yang sedang diusahakan Memey.Saya sedang menjalani penggambaran telemovie ‘Khatan’ untuk RTM dan ‘Roda-Roda KL’. Sebenarnya ada banyak lagi tawaran yang diterima tapi dari segi masa saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Saya taknak tamak. Bagi saya, kualiti itu lebih penting dari kuantiti.


Rezeki Memey nampaknya semakin bertambah selepas kes khalwat. Mungkin ada yang menganggap pihak produksi mengambil saya disebabkan kontroversi.
Saya tidak tahu apa yang difikirkan pihak penerbit bila mereka membuat keputusan untuk mengambil saya. Tapi saya memandangnya dari sudut yang positif kerana tidak mungkin sebuah produksi ingin menghancurkan produk sendiri dengan mengambil seorang pelakon kontroversi tetapi tidak ada bakat lakonannya.


Apa perancangan Memey jika sebaliknya yang berlaku, dimana tiada tawaran berlakon diterima?
Saya tak terfikir perkara itu sebab berlakon memang minat, cita-cita dan impian saya. Apabila sudah melangkah ke dalam industri ini, saya perlu berusaha untuk teruskan juga. Setakat ini, bertambah kekuatan saya untuk teruskan kerjaya ini. Tapi pada awalnya, selepas insiden itu, dirasakan dunia saya gelap.Saya bimbang dengan pandangan masyarakat dan bagaimana dengan kerjaya saya sebab saya masih terlalu baru dalam bidang ini. Namun dari feedback yang diterima, ia tidaklah seteruk yang disangka. Dan terfikir juga yang saya masih muda dan banyak lagi yang perlu dikejar dan dikerjakan. Biarkan apa pandangan orang. Saya tidak akan pandang belakang. Saya nak berjaya.

No comments:

Post a Comment