Sunday, April 26, 2009

Nantikan 'Mingguan Lelaki' 4 Mei Ini Di GUA


Baru-baru ini, bertempat di Michaelangelo’s Ristorante & Bar M di Solaris Mont Kiara telah dilancarkan drama online terbaru gua.com.my (GUA), ‘Mingguan Lelaki’. Dibintangi pelakon baru yang sedang meningkat naik nama mereka, Sari Yanti, Fazren Rafi dan Memey Suhaiza, ‘Mingguan Lelaki’ merupakan percubaan kedua sutradara terkenal Aziz M. Osman di platform online selepas ‘Luna Fantasiku’ tahun lepas.
Menariknya tentang ‘Mingguan Lelaki’, skripnya dihasilkan oleh orang kuat GUA, pengurus besar, kandungan, jenama dan pemasaran Alt Media Sdn Bhd, M. Zulkifli Abdul Jalil, yang menjelaskan walaupun premis cerita sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman peribadinya namun kebanyakkannya adalah fiksyen.Drama 20-episod ini mengisahkan tentang Ilham, lakonan Fazren, seorang ulat buku yang lurus bendul. Hasratnya untuk bekerja di sebuah majalah IT hancur apabila hari pertama melaporkan diri di pejabat di dapati majalah tersebut telah ‘tutup kedai’. Namun, nasibnya baik, kerana mendapat tawaran untuk menulis di sebuah majalah lelaki picisan.
Sedang dia sibuk menyesuaikan diri dengan kerja barunya, Ilham juga bekerja keras menyiapkan prototaip robotnya untuk penyertaan dalam sebuah pertandingan yang menawarkan hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM100,000. Ilham banyak mendapat galakan dari kawan karibnya, Misha (lakonan Sari Yanti), yang memendam perasaan terhadapnya. Tetapi kehadiran Farah, seorang penyanyi yang seksi dan menggoda, membuat Ilham hilang tumpuan.
Menurut Aziz, pada mulanya bimbang juga jika barisan pelakon yang dipilih pihak GUA tidak mampu menghidupkan watak yang diberikan. Tetapi setelah bekerjasama dengan mereka, dia memuji komitmen yang diberikan serta bakat mereka yang luarbiasa.
“Memey, contohnya. Mula-mula tu, saya tidak yakin dengannya. Mampukah dia menjadi seorang penggoda? Tapi dia memang bagus dan saya rasa dia akan menjadi bintang yang menyerlah. Kita patut beri perhatian padanya. Karektor yang dibawa berlainan sekali dari apa yang kita pernah lihat sebelum ini.”
‘Mingguan Lelaki’ akan menemui peminat bermula 4 Mei ini dengan episod baru setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

No comments:

Post a Comment